25.12.07

055. Penutup Tirai

Salam sejahtera pelajar budiman,

Cikgu fikir inilah kali terakhir cikgu menulis entri dalam blog Luahan Minda Kritis sebagai seorang guru Sekolah Menengah Hong Kah. Cikgu masih ingat lagi kali pertama menggunakan blog sebagai salah satu wadah pembelajaran bahasa Melayu pada akhir tahun 2004. Pada masa itu, cikgu bermula dengan pelajar-pelajar menengah 2 Ekspress di antara mereka seperti Hafiz, Dayana, Zinnirah, Hisham, Iffa, Rosdahliana dan lain-lain lagi. Pada masa itu cikgu ingat lagi bagaimana cikgu memikirkan cara terbaik untuk merangsang minat pelajar-pelajar terhadap pembelajaran bahasa Melayu. Cikgu mahu pelajar-pelajar melihat bahasa Melayu sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan mereka. Pembelajaran bahasa yang cikgu maksudkan bukan terhad terhadap pembelajaran aspek tatabahasa tetapi bagaimana bahasa itu digunakan untuk perbincangan dan sebagainya.

Pada tahap peninjauan, cikgu mendapati bahawa blog merupakan sesuatu yang amat diminati pelajar. Oleh itu, rugi rasanya jika cikgu tidak memanfaatkan peluang ini untuk menarik minat pelajar terhadap bahasa Melayu. Projek kami bermula secara rasmi pada awal tahun 2005 di mana bersama pelajar-pelajar dan cikgu bersama-sama memikirkan isu-isu apa yang boleh dibincangkan menggunakan blog sebagai wadah pembelajaran. Cikgu mahu pelajar-pelajar sendiri yang memikirkan tentang isu-isu yang ingin dibincangkan supaya mereka rasa lebih seronok dan menganggap perbincangan itu relevan dengan kehidupan mereka. Antara perkara-perkara yang kami bincangkan ialah isu remaja lari dari, isu keseksualan remaja, isu pengaruh rakan sebaya dan sebagainya. Cikgu gembira kerana pelajar-pelajar dapat membincangkan isu-isu yang diketengahkan dengan matang dan berusaha untuk menyampaikan pendapat mereka menggunakan bahasa Melayu yang baik. Cikgu rasa pengalaman yang dilalui bersama pelajar amat berharga kerana dengan bantuan pelajar-pelajar, cikgu dapat memahami persepsi para pelajar tentang isu-isu yang berlaku di persekitaran mereka.

Cikgu rasa sungguh bertuah juga kerana perbincangan kami disertai seorang pakar iaitu Encik Mohd Ali Mahmood, pengarah Pusat Khidmat Keluarga PPIS-Jurong. Setiap kali selesai perbincangan tentang sesuatu isu, beliau pasti akan memberikan ulasan. Kepakaran beliau dalam hal-hal berkenaan pelajar dan masyarakat pasti telah membuka minda pelajar-pelajar terhadap dilema yang dialami mereka.

Cikgu juga gembira kerana dapat berkongsi dengan guru-guru lain tentang bagaimana kami menggunakan blog sebagai wadah pembelajaran. Tanpa kerjasama dan keghairahan pelajar, cikgu pasti blog yang kami gunakan ini tidak akan berjaya.

Cikgu sudah tidak mahu cerita panjang-panjang lagi. Sekiranya anda berkesempatan, lungsurilah lelaman YouTube cikgu yang merakamkan pengalaman-pengalaman cikgu bersama pelajar-pelajar Sekolah Menengah Hong Kah.

Sebelum cikgu mengundur diri, cikgu ingin berpesan kepada murid-murid yang pernah cikgu ajar supaya menjadi anak-anak yang baik dan sayangilah diri anda.

Terima kasih pelajar-pelajar Sekolah Menengah Hong Kah!

http://www.youtube.com/watch?v=sekZNCcmLAA
http://www.youtube.com/watch?v=Ok6p3uD0CFM
http://www.youtube.com/watch?v=9pnQV8z4S1A
http://www.youtube.com/watch?v=2bmqwYwgnDs
http://www.youtube.com/watch?v=2aK9zAKJTKE
http://www.youtube.com/watch?v=HJsDXEia_q0
http://www.youtube.com/watch?v=D7aL7A_mMfg
http://www.youtube.com/watch?v=h8za5T-RwlM

054. Refleksi 2007

Salam sejahtera pelajar budiman,

Semoga anda semua dalam keadaan baik dan bersedia untuk menempuhi satu lagi tahun yang pasti mencabar dan menarik. Cikgu berharap cuti sekolah yang anda lalui ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan tidak disia-siakan kerana masa yang pergi pasti tidak akan kembali lagi.

Sambil kita meniti sisa-sisa tahun 2007 ini, cikgu berharap para pelajar mengambil sedikit masa untuk merenung sejenak akan pencapaian-pencapaian yang dikecapi mahupun kegagalan-kegagalan yang dialami sepanjang tahun in.

Baru-baru ini, cikgu menghadiri acara penyampaian keputusan GCE peringkat N di mana cikgu telah berjumpa pelajar-pelajar Menengah 4 Normal Akademik dan 4 Normal Teknikal. Cikgu ucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya mendapatkan keputusan yang diidam-idamkan. Pada waktu yang sama, cikgu berharap pelajar-pelajar yang tidak mendapat keputusan yang memuaskan tidak terus patah semangat untuk mencuba sekali lagi.

Cikgu ingin mengambil kesempatan untuk memberikan satu dua nasihat kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang membolehkan mereka meneruskan pengajian di peringkat menengah 5. Sekiranya anda mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian ke peringkat menengah 5, cikgu berharap anda semua akan melipatgandakan usaha lagi pada tahun 2008. Jurang antara peperiksaan peringkat O dan peringkat N amat luas sekali. Oleh itu, cikgu berharap pelajar semua tidak mempunyai persepsi bahawa cara mempersiapkan diri untuk peperiksaan GCE N itu sudah memadai untuk persiapan peringkat GCE O pada tahun 2008. Tanyalah rakan-rakan yang sudah melalui peringkat 5 Normal Akademik. Dengarkanlah nasihat-nasihat mereka dengan hati dan minda yang terbuka.

Cikgu percaya mungkin ada di antara pelajar yang tidak mendapat keputusan peperiksaaan yang diingini. Walau bagaimanapun, cikgu berharap ia tidak mematahkan semangat anda untuk berjaya bahkan menjadi ransangan untuk mencuba lagi tetapi kali ini dengan strategi yang berbeza. Belajarlah daripada kesilapan masa lampau. Ambillah iktibar daripada pengalaman kawan-kawan yang telah gagal. Cikgu pasti bahawa sekiranya anda benar-benar berkemahuan untuk berjaya, ramai yang akan membantu.

Cikgu berharap pada tahun yang baru ini, anda semua menyimpan tekad untuk menjadi insan yang lebih baik lagi. Kebaikan yang saya maksudkan bukan sekadar kebaikan dari segi pencapaian akademik sahaja tetapi dari segi akhlak juga.

Sekiranya anda pernah menghampakan diri anda atau keluarga pada masa-masa dahulu, ambillah peluang tahun ini untuk membuktikan bahawa anda mahu dan akan berubah menjadi seseorang yang menggembirakan diri dan keluarga anda. Usah jadikan persepsi negatif orang lain tentang diri anda menjadi suatu realiti. Kemampuan untuk berubah terletak dalam genggaman tangan anda sendiri.