Pakar yang akan berkongsi pendapat mengenai isu ini ialah Encik Mohd Ali Mahmood, juga dikenali sebagai Bro Mohd. Beliau merupakan seseorang yang amat berpengalaman dalam bidang kaunseling keluarga. Bro Mohd sering dijemput untuk memberikan ceramah-ceramah di sekolah dan pendapat-pendapat beliau sering disiarkan di Berita Harian. Kini, Bro Mohd merupakan Pengarah Pusat di Pusat Khidmat Keluarga PPIS-Jurong.
berpendapat...
Assalaamualaikum wr. wb.
Banyak sekali komen yang tertera tentang isu remaja yang dibuai nafsu. Untuk pengetahuan remaja, Pusat Khidmat Keluarga PPIS-Jurong, di mana Bro Mohd bertugas mengendalikan 3 kes setiap minggu dimana remaja yang ingin dinikahkan kerana sudah terlanjur.
Memang betul komentar Irma Sakinah, Nur Hanisah dan remaja yang lain. Ramai ibu bapa yang mengambil keputusan untuk menikahkan anak remaja mereka yang hamil kerana ingin meutup malu atau rasa kasihan kepada bayi yang dikandung. Malangnya, pernikahan bukanlah akhir masalah mereka tetapi permulaan bagi masalah yang baru.
Walaupun secara rasional kita rasa janji-janji teman lelaki untuk bertanggungjawab itu suatu yang bodoh, ramai juga remaja wanita yang tertipu kerana dibuai nafsu mereka sendiri. Cuba bayangkan, walaupun si lelakinya ingin bertanggungjawab, apakah masa depannya bernikah pada usia muda, dengan suami yang tidak ada kemampuan menanggung nafkah dan menjadi pembimbing keluarga?
Nur Amirah, Siti Zinnirah dan yang lainnya nampaknya marah kepada si ibu yang membenarkan teman lelaki Ana bermalam di rumahnya. Inilah kenyataan kehidupan bahawa, walaupun dewasa, seorang ibu itu juga boleh melakukan kesilapan.
Sebahagian besar kes remaja yang melakukan seks, selalunya berbuat demikian dirumah mereka, apabila ibu bapa keluar bekerja. Oleh kerana tiada pengawasan, berbagai perkara yang boleh berlaku.
Ada juga kalangan remaja yang mengaggap pengetahuan agama itu penting untuk mengelakkan perkara ini dari berlaku. Ini memang benar. Sebahagian kes yang kami tangani kurang berpengetahuan. Malahan ada juga yang tidak tahu mengucapkan syahadah! Tetapi rata-rata semuanya tahu bahawa berzina itu salah dalam Islam.
Pokoknya, ilmu tanpa amal itu merugikan. Jadi, bukan setakat tahu ilmu agama, kita haruslah berusaha untuk mengamalkannya: seperti solat (mengajarkan kita tentang (disiplin yang berterusan), puasa (menahan diri), zakat/sedekah (bertimbang rasa), pergi haji (pengorbanan).
Di sini Bro Mohd hendak memberi sedikit panduan untuk remaja semua supaya dapat melayari kehidupan sebagai remaja ini dengan lebih baik:
Pilihlah kawan yang baik. Pesan Rasullullah "Perumpamaan teman yang solih dan teman yang jahat ialah laksana pembawa minyak wangi dan tukang besi. Adapun pembawa minyak wangi, sama ada dia memberimu sedikit, ataupun anda membeli daripadanya sedikit, ataupun anda dapat mencium bau-bauan yang wangi. Adapun tukang besi, sama ada dia membakar bajumu, ataupun akan mencium daripadanya bau-bauan yang busuk!" Bagaimana hendak memilih kawan yang baik? lihatlah tingkah lakunya, percakapannya, dan pemikirannya. Inilah cermin yang memantul akhlak dalam diri teman itu.
Jagalah diri anda dahulu, sebelum menjaga diri orang lain. Ramai remaja yang beranggapan bahawa tujuan mereka berkawan dengan seseorang itu kerana berharap untuk mengubah sikap atau kelakuan teman yang kurang baik. Walaupun niat ini harus dipuji, kita harus sedar bahawa seseorang itu tidak akan berubah jika dia sendiri tidak sedar dan tidak ingin berubah. Dalam kegairahan kita ingin membantu, kita mungkin terikut-ikut dengan perbuatan mereka yang kurang baik.
Jauhkan diri anda dari perkara-perkara yang membawa kepada maksiat. Cuba fikirkan, berapa ramai antara remaja kita yang suka mengakhiri tutur bicara dengan perkataan 'sial', bukankah ini suatu sumpahan? Ternyata, dengan membuat begini, anda meyumpah teman anda sendiri. Dan oleh kerana itu, ianya juga memantul kepada diri anda! Jadi, janganlah terperanjat jika anda selalu tidak bernasib baik!
Carilah orang yang boleh anda contohi (role model). Orang yang terbaik dicontohi adalah Rasulullah. Tetapi jika para remaja ingin seseorang yang lebih dekat, gunakanlah ibu bapa anda sebagai contoh. Malangnya ada juga ibu bapa yang tidak boleh menjadi contoh kepada anak-anak mereka kerana mereka sendiri tidak menunjukkan sikap yang terpuji. Oleh itu, carilah seorang mentor dari kalangan sedara mara, guru, ustadz dan sebagainya. Pastikan mereka yang dijadikan mentor adalah mereka yang menganjurkan melakukan kebaikan dan amal soleh.
Sampai di sini sahaja komentar dari Bro Mohd. Jika ada pertanyaan lanjut, ajukan emel kepada: mohdali@ppisjurongfsc.com
Wassalaam
Brother Mohd.
3/3/05 10:35