Pelajar yang budiman,
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita tentang bagaimana segolongan minoriti pengguna diari maya yang telah menyalah gunakan wadah ini untuk menulis perkara-perkara yang berbau perkauman.
Apakah reaksi anda terhadap berita tersebut?
Apakah yang anda boleh lakukan untuk meyakinkan rakan-rakan lain bahawa ini hanyalah tindakan golongan minoriti masyarakat Singapura yang sempit pemikirannya?
Bagaimanakah anda boleh mewujudkan persefahaman antara kaum?
Berikut merupakan artikel berita yang cikgu dapatkan daripada Cyberita sebagai bahan renungan.
DIARI MAYA BERBAU PERKAUMAN
PEGUAM TERTUDUH BERUSAHA CUBA KURANGI TUDUHAN
Oleh Khalid Khamis
Dipetik daripada http://cyberita.asia1.com.sg/ PEGUAM bagi Lim Yew Nicholas, 25 tahun, yang dituduh menyiarkan diari maya atau blog yang berbau perkauman, akan cuba mengurangkan tuduhan terhadapnya.
Seorang lagi tertuduh, Benjamin Koh Song Huat, 27 tahun, pula akan membuat perwakilan dalam beberapa hari ini.
Masing-masing menghadapi dua dan tiga tuduhan di bawah Akta Hasutan berkaitan forum anti-Melayu dan anti-Islam.
Mereka, individu pertama yang dituduh di bawah Akta tersebut, hadir di mahkamah dengan diwakili peguam masing-masing semalam selepas dituduh 12 September lalu.
Ketika dihubungi, peguam Lim, Cik Helen Chia, mengesahkan bahawa pihaknya akan cuba mengemukakan rayuan untuk mengurangkan tuduhan atau mungkin meneruskan dengan satu daripada dua tuduhan yang dihadapinya.
'Kami akan menulis kepada Peguam Negara jika boleh meringankan tuduhan terhadapnya dan akan berusaha sedaya upaya walaupun agak berat,' katanya.
Peguam Koh pula, Encik Irving Choh, ketika dihubungi berkata pihaknya hanya akan membuat perwakilan dalam beberapa hari ini.
Beliau akan bertemu kliennya hari ini untuk mendapatkan arahan seterusnya.
Kes mereka akan didengar lagi Selasa ini.
Jumaat lalu, seorang pelajar sekolah swasta, Gan Huai Shi, 17 tahun, turut dituduh bagi kesalahan yang sama di bawah Akta tersebut.
Dia hadir di mahkamah Selasa lalu tetapi kesnya akan didengar lagi 7 Oktober ini.
Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng, menyatakan pemerintah kini sedang menyemak jika Akta Hasutan perlu dipinda untuk menyesuaikan hukuman kepada kesalahan dalam konteks masyarakat sekarang.
Akta Hasutan digubal sekitar 1948 dan dipinda dua kali dalam 1972 dan 1985.