27.10.05

018. Sukma Budaya 2005

Salam sejahtera pelajar yang budiman,
Cikgu ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar menengah tiga Sekolah Menengah Hong Kah yang telah berjaya menganjurkan acara Sukma Budaya pada 27 Oktober lalu.
Cikgu pasti pelajar-pelajar menengah satu dan dua pasti telah terhibur dan meraih manfaat daripada bengkel-bengkel yang telah anda semua anjurkan. Cikgu sendiri amat berpuas hati dengan pencapaian anda semua.
Apa pula maklum balas pelajar yang lain?
Cikgu rasa elok sekiranya anda dapat menuliskan laporan mengenai acara tersebut supaya boleh dikongsi bersama remaja-remaja lain. Mungkin Aidil, Hisham, Abbas, Zinnirah, Rosdahliana, Irma Sakinah, Siti Farhana atau yang lain boleh menulisnya?
Sekiranya ingin melihat gamabr-gambar yang telah saya muat naikkan, sila ke http://cikgufaizal.fotopages.com/

23.10.05

017. Aktiviti Pembelajaran: Blog

Omar Taufiq, Shazni dan Hisham kelihatan ghairah memberikan pendapat masing-masing. Gambar-gambar ini diambil pada 23 September 2005 iaitu beberapa hari selepas kami diwawancara oleh penerbit Detik, Encik Hisham Hashim.

Untuk melihat gambar-gambar yang lain sila ke Fotopage Cikgu Faizal.

20.10.05

016. Etika Penggunaan Blog

Pelajar yang budiman,

Sudahkah anda membaca artikel Berita Harian mengenai isu etika blog? Sekiranya diberikan peluang, apakah yang boleh anda sarankan kepada pihak awam tentang etika penggunaan blog?

Berikut merupakan artikel berita yang cikgu dapatkan daripada Cyberita sebagai bahan renungan.

Berita Harian Singapura : 18 Oktober 2005
SEKOLAH PERLU DIDIK ETIKA GUNA BLOG
Dipetik daripada
http://cyberita.asia1.com.sg/
MOE akan pantau dan lakar garis pandu guna InternetPIHAK sekolah perlu mendidik dan membimbing pelajar mengenai penggunaan blog atau diari maya secara bertanggungjawab, sama seperti mereka menggunakan kemudahan e-mel dan perhubungan media yang lain.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Encik Tharman Shanmugaratnam, berkata Kementerian Pendidikan (MOE) akan terus memantau keadaan dan menilai keperluan mewujudkan satu garis pandu penggunaan Internet, merangkumi etiket blog bagi guru dan pelajar.
Dalam jawapan bertulisnya sebagai menjawab pertanyaan Cik Cynthia Phua (GRC Aljunied), Encik Tharman menggariskan tiga pendekatan MOE berhubung penggunaan Internet yang bertanggungjawab.Ini termasuk latihan bagi guru, penggunaan Internet secara bertanggungjawab dan melalui sumber-sumber kementerian tersebut.
Berhubung latihan, Encik Tharman berkata latihan bagi guru dalam garis pandu etika Internet disepadukan dalam program latihan integrasi teknologi maklumat (IT).Di sekolah pula, topik mengenai penggunaan Internet secara bertanggungjawab dirangkum dalam pakej arahan bagi Pendidikan Sivik dan Moral (CME). CME menggalak para pelajar bersikap bertanggungjawab atas tingkah laku mereka sama ada dalam dunia siber mahupun fizikal.Menerusi edu.MALL, pihak sekolah boleh mendapatkan panduan mengenai penggunaan Internet yang bertanggungjawab di kalangan para pelajar.edu.MALL adalah laman web MOE yang menerangkan penggunaan IT dalam pendidikan.Di samping itu, pihak sekolah memanfaatkan sokongan pertubuhan relawan seperti Touch Community Services, Kumpulan Penasihat Ibu Bapa bagi Internet (PAGi) dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dalam menganjurkan program-program siber bagi para pelajar dan ibu bapa.

'Kami menggalakkan penggunaan blog. Ia membolehkan pelajar meluahkan perasaan mereka secara bebas dalam sekitaran tidak formal dan memanfaatkan pelbagai media - teks, bunyian, gambar dan video - secara kreatif. (Namun) pelajar perlu diingatkan supaya menghormati orang lain, mengelak kandungan menjelikkan atau kesat dan penjiplakan serta bahan terpelihara,' ujar Encik Tharman.