4.1.06

022. Maklum Balas Pelajar Mengenai Penggunaan Blog Dalam Pembelajaran

Selamat sejahtera pelajar budiman,

Memandangkan sudah genap setahun kita menggunakan blog dalam pembelajaran kita, cikgu rasa wajarlah kita membuat sedikit renungan tentang kekuatan dan kelemahan menggunakan wadah ini.

Oleh itu, cikgu ingin mengambil kesempatan ini untuk mendengar pendapat-pendapat pelajar tentang cara pembelajaran ini. Cikgu berharap pelajar-pelajar boleh memberikan maklum balas yang sejujur-jujurnya supaya cikgu dapat memperbaiki cara pembelajaran bersama pelajar-pelajar cikgu yang lain.

Soalan-soalan berikut boleh dijadikan panduan untuk memberikan pendapat-pendapat anda.


  1. Setujukah anda bahawa pembelajaran menggunakan wadah blog menarik? Mengapa?
  2. Sejauh ini, cikgu telah menggunakan wadah blog untuk membincangkan isu-isu remaja dan sosial. Setujukah anda bahawa anda lebih prihatin dan lebih mengetahui tentang isu-isu yang dibincangkan berbanding dengan dahulu? Mengapa?
  3. Adakah ibu bapa atau ahli keluarga lain sedar tentang perbincangan yang anda lakukan menggunakan wadah blog ini?
  4. Apakah reaksi atau pendapat mereka tentang perbincangan yang anda lakukan bersama guru dan rakan-rakan lain?
  5. Selain menggunakan blog untuk membincangkan isu-isu sosial dan remaja, apakah perkara-perkara lain yang boleh kita lakukan menerusi wadah blog untuk pembelajaran bahasa Melayu?
  6. Lain-lain pendapat.

Terima kasih saya ucapkan kepada anda semua kerana telah menjayakan aktiviti pembelajaran melalui blog ini.

9 comments:

Anonymous said...

Ya,saya rasa bahawa menggunakan wadah blog adalah menarik kerana ia adalah salah satu cara untuk berinteraksi secara kreatif.

Menggunakan wadah blog untuk membincangkan tentang isu-isu sosial adalah baik kerana kini, saya lebih prihatin tentang isu-isu sebegini.Ia adalah menarik untuk melihat pendapat-pendapat rakan-rakan saya.

Ibu bapa saya juga sedar tentang perbincangan melalui blog ini dan mereka mengalakkan cara ini kerana ia adalah sesuatu yang kreatif.

Anonymous said...

Ya, menggunakan wadah blog amat menarik kerana ketika musim cuti sekolah ia agak mudah untuk kami mengetahui apa yang seharusnya kita lakukan untuk kerja sekolah jika kita putus hubungan dengan rakan-rakan dan guru.

Ya, saya lebih prihatin mengenai isu-isu tersebut kerana kami sering membincangkan topik-topik tersebut.

Ya, ahli keluarga saya yang lain sedar tentang perbincangan yang dilakukan menggunakan wadah blog ini kerana saya memberitahu mereka bahawa jika ada masa, mereka boleh mengetahui lebih lanjut atau memberikan pendapat melalui wadah blog ini.

Mereka sangat gembira kerana dengan perbincangan ini, kami tidak akan berasa bingung tentang perkara-perkara tersebut.

Anonymous said...

Tentang projek kami, saya dapati ianya agak memuaskan. Saya dapat membuka minda dengan lebih luas dan membandingkan pelbagai-bagai perkara.

Isu-isu yang dibincangkan juga amatlah penting dan juga dapat menolong membaiki masalah yang sedia ada.

Kekuatan kami ialah kami amat prihatin dengan nasib remaja yang kian hanyut dan ibu bapa yang mempunyai pemikiran yang sempit. Oleh itu, kami ingin sekali mereka menghargai dan memahami satu sama lain. Ini dapat mengeratkan lagi perhubungan sesama keluarga.

Kami ada menyediakan tips-tips dan cara mengelak pertengkaran berlaku.

Kelemahan kami ialah blog ini tidak cukup menarik kerana kami tidak sempat untuk menyelesaikan dan memasukkan musik atau animasi yang mungkin akan menarik lebih perhatian.

Di samping itu, kami sekumpulan masing-masing sibuk dan tidak mempunyai masa. Bahan rujukan kami juga tidak berapa banyak.

Sejauh ini, wadah sebegini dapat membantu saya untuk memahami topik-topik hangat masa kini. Blog ini juga mungkin dapat mendorong rakyat Singapura untuk membincangkan dan meluahkan perasaan atau pendapat masing-masing.

Selain itu, ia adalah suatu sumber yang boleh dipercayai. Saya berharap, pada masa akan datang, lebi ramai lagi akan melungsuri blog ini.


Adilah Othman 4A

Anonymous said...

Ya, pada pendapat saya, menggunakan wadah blog ini menarik. Ia sesuatu yang berlainan.

Ya, saya kini lebih prihatin dengan hal-hal dan isu-isu yang dibincangkan di blog ini. Ini kerana, setiap kali saya memasuki blog ini, isu-isu yang telah dibincangkan dapat saya lihat semula. Ini kerana ianya sentiasa ada di blog ini.

Jika menggunakan teknik mengajar dengan percakapan sahaja, murid-murid akan lupa setelah lama jika tidak selalu diperbualkan.

Ibu dan beberapa mak cik dan juga saudara saya sedar tentang penggunaan blog di kelas kita ini.

Mereka berpendapat bahawa ia adalah sesuatu yang berlainan dan mungkin juga efektif. Mereka kata, ia lebih menarik perhatian remaja-remaja dan kurang membosankan.

Boleh juga menggunakan blog untuk mengajar perkara lain seperti peribahasa. Cikgu boleh meletakkan sesuatu peribahasa bersama sesuatu gambar dll)untuk menolong kita mengingati peribahasa dan maksud peribahasa tersebut.

Jika saya terfikir tentang lain perkara yang boleh diperbincangkan atau dipelajari melalui blog ini, saya akan memberitahu pada lain waktu. Ini sahaja buat kali ini.

Nur Amirah. Bte. Mathuri (15) 4A =)

Anonymous said...

Pada pendapat saya,pembelajaran menggunakan wadah blog itu menarik.Ia dapat memberi kita peluang untuk mengaitkan teknologi 'IT' dengan pelajaran di sekolah.

Menggunakan wadah untuk membincangkan tentang isu-isu remaja, adalah cara yang bagus. Kita dapat melakukannya, bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di rumah (bagi mereka yang mempunyai 'internet' di rumah). Dengan ini, kita dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang masalah-masalah remaja masa kini.

Selain daripada itu, kita boleh mula membincangkan tentang masalah-masalah ekonomi atau apa jua masalah yang kini hangat dibincangkan oleh masyarakat Singapura. Ini boleh menolong kita dalam peperiksaan karangan.

Selain daripada melatih menggunakan bahasa Melayu yang bagus dalam melahirkan pendapat-pendapat kita, kita juga dapat mengetahui isu-isu atau masalah-masalah yang dihadapi oleh Singapura pada masa kini.

Nur Hanisah Bte. Zainuddin
4A

Anonymous said...

Pada pendapat saya, memang baik jika kami gunakan blog dalam pelajaran kerana kami tidak perlu buat kerja-kerja ini di sekolah dan kami boleh menyelesaikannya di rumah pada bila-bila masa.

Lagipun, hampir semua pelajar-pelajar di kelas kami ini mempunyai komputer. Menggunakan komputer amat mudah kerana kami tidak perlu menulisnya di kertas.

Saya tidak berasa kaku kerana sudah biasa bermain komputer dan ini amat mudah bagi kami untuk memberi pendapat kepada Cikgu Faizal mengenai apa jua masalah yang cikgu kemukakan.

Terima Kasih!

Muhammad Hafiz Bin Mohd Yassin Bin Din
Sekolah Menengah Hong Kah.
Menengah 4B.

Anonymous said...

Pada pendapat saya, menggunakan blog bagi pelajaran itu menarik, sekiranya cikgu akan membawa kita ke makmal komputer dan bukan menyuruh kita untuk membuat perbincangan itu sendiri di rumah kerana tidak semua pelajar memiliki komputer atau internet di rumah.

Alternatif yang cikgu akan berikan kepada murid ialah untuk menggunakan komputer di perpustakaan atau meminta pertolongan kawan tetapi itu pun kalau ada komputer yang tidak digunakan atau ibu bapa kawan membenarkan kami ke rumah mereka untuk menggunakan komputer mereka.

Jadi, lebih senang jika cikgu membawa kita ke makmal komputer dan bukan menyuruh kita membuat perbincangan melalui blog di rumah.

Walaupun begitu, penggunaan blog dalam pembelajaran begitu menarik sekali kerana di sinilah kita dapat meluahkan perasaan kita tentang sesuatu topik yang sedang dibincangkan.

Nur Aqilah Bte Ibrahim,4A

Anonymous said...

Ya, menggunakan wadah blog menarik sekali kerana ia membuka minda kita untuk berfikir dengan lebih luas lagi dan tidak membosankan seperti membuat Buku Kerja di dalam kelas.

Saya juga sudah lebih prihatin tentang isu-isu sebegini. Ahli keluarga saya telah mengetahui tentang penggunaan blog di sekolah. Mereka menyokong saya seratus peratus!

Saya ada masalah untuk mengunjungi blog kerana tiada kemudahan internet di rumah. Saya terpaksa menggunakan komputer yang tidak begitu canggih di sekolah. Mungkin cikgu boleh mendermakan sebuah komputer yang mempunyai kemudahan internet kepada murid-murid yang tidak berkemampuan supaya lebih senang untuk mengunjungi blog. Hehe!!

Rosdahliana Dahlan 4A

Anonymous said...

Ya, saya rasa bahawa menggunakan wadah blog ini adalah suatu perubahan yang amat menarik bagi kami semua kerana kami boleh bertukar pendapat dengan cara yang mudah iaitu dengan menulis pendapat di blog ini.

Ya, saya kini lebih prihatin dengan hal-hal dan isu-isu yang dibincangkan di blog ini. Setiap topik yang menarik akan kami memberi pandangan yang tersendiri.

Ibu bapa saya sedar dan menggalakkan perbincangan melalui blog ini dan mereka juga memberi pandangan di blog ini.

Walau bagaimanapun, blog ini mempunyai kelemahannya juga iaitu, blog ini agak bosan tanpa lagu atau animasi. Tetapi, saya tetap sokong seratu peratus untuk menggunakkan wadah blog kerana tanpa sedari, membaca buku teks dan membuat buku kerja agak bosan dan jelak.