6.12.04

006. Isu Remaja Lari

Salam sejahtera pelajar budiman.

Sebagai memulakan perbicangan, saya telah memilih isu yang diketengahkan Iffa Iryani pada 12 Nov 2004 mengenai kes seorang pelajar Sekolah Menengah Hong Kah yang lari dari rumah sedikit masa dahulu.

Iffa mengatakan bahawa, "Isu yang hangat yang saya telah terbaca di "New Paper" ialah mengenai kehilangan seorang murid sekolah kita. Namanya Arinah. Saya rasa perkara ini membuat saya fikirkan tentang keselamatan dia dan juga bagaimana kita boleh membantu keluarganya kerana saya ada juga kenal sedikit tentang budak itu. Sudah sebulan dia menghilang dari rumah dan sekolah.Saya amat kasihan pada keluarganya yang menunggu kepulangannya hingga ke saat ini. Perkara tentang budak-budak lari dari rumah amat membimbangkan sekali".

Apa pula komen anda tentang perkara ini? Mungkin persoalan-persoalan yang saya ajukan sebentar nanti boleh kamu gunakan sebagai panduan untuk memberikan pendapat-pendapat seterusnya.

  1. Bayangkan bagaimana perasaan ahli keluarga apabila seseorang remaja mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah tanpa sebarang berita?
  2. Bayangkan bagaimana keadaan seseorang remaja apabila lari dari rumah?
  3. Apakah bahaya-bahaya ataupun risiko-risiko yang mungkin dihadapi semasa lari dari rumah?
  4. Agaknya apa yang akan kamu lakukan sekiranya rakan kamu mengambil keputusan untuk lari dari rumah?

5.12.04

005. Salam Aidil Fitri 2004

Salam sejahtera pelajar budiman.

Hari ini sudah masuk 23 hari semenjak kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan saya rasa belum terlewat bagi saya mengucapkan "Selamat Hari Raya" kepada semua. Semoga segala perkara-perkara baik yang kita lakukan sepanjang Ramadhan dahulu akan berterusan sehingga Ramadhan tahun hadapan.

Saya berharap dalam kegembiraan kita menyambut Aidil Fitri, kita juga tidak melupakan kewajipan kita sebagai pelajar iaitu mengambil kesempatan cuti sekolah ini untuk mengulang kaji pelajaran. Oleh itu, sekiranya ada yang masih belum melakukannya, usah gusar kerana kita masih ada 3 minggu lagi sebelum sekolah dibuka.

Saya juga berharap bagi mereka yang belum berkesempatan untuk memberikan sumbangan isu-isu hangat yang boleh dibincangkan, lakukanlah dengan segera.

Sebelum memberikan pendapat ataupun maklum balas, jangan lupa untuk membaca perkara 3 iaitu 'PROSEDUR MEMBERIKAN PENDAPAT'. Di mana saya telah mencatatkan perkara-perkara yang perlu dititik-beratkan sebelum memberikan sumbangan-sumbangan kamu.

28.10.04

004. Ada Isu Hangat?

Salam sejahtera pelajar budiman.

Saya ingin memberikan peluang kepada anda untuk mencadangkan isu-isu yang dirasakan menarik perhatian anda sebagai remaja. Isu-isu yang kamu cadangkan boleh meliputi berbagai perkara sama ada isu-isu tentang keremajaan ataupun hal ehwal semasa.


Ambillah peluang ini dengan sebaik-baiknya kerana saya akan memilih isu-isu yang dicadangkan untuk dibincangkan nanti.

Terima kasih dan selamat berpuasa.

21.10.04

003. Prosedur Memberikan Pendapat

  1. Klik pada bahagian "pendapat".
  2. Tulis pendapat atau maklum balas anda di ruang yang disediakan.
  3. Pastikan anda klik pada bahagian "other" di "choose an identity". Tuliskan nama anda di bahagian "name" dan diikuti dengan kelas. Contohnya, Farhana (1B).
  4. Klik pada bahagian "publish your comment".

002. Etika Perbincangan

Sebagai seorang insan budiman, kamu harus menunjukkan kesopanan pada setiap masa. Oleh itu, cikgu benar-benar mengharapkan agar kamu dapat memperlihatkan kesopanan ini semasa memberikan maklum balas ataupun pendapat. Perkara-perkara yang boleh dijadikan garis pandu adalah seperti berikut:
  1. Gunakan bahasa yang baik semasa memberikan maklum balas ataupun pendapat.
  2. Jangan menggunakan bahasa pasar ataupun singkatan-singkatan apabila menulis.
  3. Jangan menggunakan bahasa kesat semasa memberikan pendapat.
  4. Sampaikan pendapat kamu dengan hikmah dan kebijaksanaan.
  5. Hormati pendapat setiap orang.

20.10.04

001. Prawacana

"Kelembutan bahasa dan kehalusan budi serta ketertiban susun kata mencerminkan minda dan budi pekerti seseorang".

Selamat sejahtera pelajar budiman. Seperti yang telah saya sampaikan tempoh hari, kumpulan kamu telah dipilih untuk menerajui suatu projek pembelajaran yang baru. Projek pembelajaran yang dimaksudkan ialah perbincangan isu-isu semasa dan isu-isu remaja dengan menggunakan wadah internet.

Blog ini akan berfungsi sebagai sebuah bilik darjah maya (virtual classroom) di mana aktiviti-aktiviti pembelajaran
akan berlangsung.

MATLAMAT PROJEK

  1. Menggalak pelajar untuk memberikan pendapat dan maklum balas.
  2. Menggalak pelajar menyampaikan pendapat dan maklum balas dengan menggunakan bahasa yang baik.

PENILAIAN

Aktiviti-aktiviti yang akan kita jalankan nanti akan dinilaikan dan disertakan sebagai sebahagian daripada Penilaian Berterusan (Continual Assessment) bagi tahun 2005. Oleh itu, kamu harus mengambil serius setiap kali melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan.