30.6.06

042. Interpretasi Gambar 3

Gambar 1, 2 & 3 telah dipetik dari Portal Pendidikan Utusan di alamat www.tutor.net.my

041. Interpretasi Gambar 2

040. Interpretasi Gambar 1

039. Interpretasi Gambar

Salam sejahtera pelajar-pelajar semua,

Berikut merupakan tugasan kamu pada hari ini

  1. Perhatikan gambar-gambar yang telah saya petik dari internet.
  2. Berikan pendapat kamu tentang apa yang ingin disampaikan oleh pelukis.
  3. Berikan pendapat kamu tentang mengapa pelukis mencipta lukisan-lukisan tersebut.
  4. Apakah kesan lukisan-lukisan tersebut pada diri anda dan apakah pengajaran yang kamu perolehi daripada lukisan-lukisan tersebut.

Selamat mencuba!

27.6.06

038. Blog Pelajar & Maklum Balas

Salam sejahtera semua,

Cikgu baru sahaja membuat jalinan ke lelaman blog pelajar yang terbaru. Para pelajar yang berminat bolehlah melungsuri lelaman tersebut di alamat
http://srikandi-remaja.blogspot.com/. Selain itu, pelajar juga boleh ke bahagian paling kanan blog ini dan klik di bahagian yang bertajuk Projek Blog Pelajar 2005.

Cikgu juga berhasrat untuk menerbitkan beberapa maklum balas dari pelajar-pelajar menengah 1, 2 dan 3 yang menghadiri sesi Pelita Ilmu pada bulan Mac lalu.
Cikgu juga akan memuatnaikkan gambar-gambar menarik buat tatapan anda sekalian. Sekiranya anda berminat membaca maklum balas yang telah diberikan ataupun menatap gambar-gambar yang dipetik dahulu, silalah ke bahagian bertajuk Projek Video Pelajar 2005 di bahagian paling kanan blog ini dan klik pada salah satu tajuk yang ada.

Semoga terhibur!

11.3.06

033. Sesi Pelita Ilmu 1: Persediaan






Cikgu sertakan beberapa gambar pelajar-pelajar Menengah 4 Ekspres yang sedang membuat persiapan-persiapan terakhir untuk Sesi Pelita Ilmu:-

032. Sesi Pelita Ilmu 1

Pelajar-pelajar Menengah 4 akan menganjurkan suatu sesi perkongsian ilmu (Pelita Ilmu 1) bersama pelajar-pelajar Hong Kah pada cuti sekolah bulan Mac nanti. Sejauh ini, hanya beberapa pelajar sahaja yang akan menyertai sesi tersebut. Antaranya, pelajar-pelajar Menengah 1N3, 2N2, 2N3 dan beberapa pelajar terpilih daripada peringkat Menengah 3 Ekspres dan Normal Akademik.

Tujuan mengadakan sesi perkongsian ini ialah untuk:-

  1. memberikan peluang kepada pelajar-pelajar Menengah 4 Ekspres untuk mempersembahkan projek-projek mereka,
  2. membina keyakinan diri pelajar-pelajar Menengah 4 Ekspres untuk mengetengahkan dapatan-dapatan yang mereka perolehi semasa melaksanakan projek,
  3. memberikan pelajar-pelajar muda gambaran projek yang boleh mereka laksanakan nanti.

Berikut merupakan butir-butir lanjut Sesi Pelita Ilmu:-

  • Tempat: Oditorium Sekolah Menengah Hong Kah
  • Tarikh: 16 Mac 2006 (Khamis)
  • Masa: 0745 - 1000
  • Kod Pakaian: Pakaian Seragam Sekolah

2.3.06

031. Ilham Pujangga: Bersama 2T1

Cikgu Fawziyah,

Matlamat yang ingin saya capai semasa menggunakan lagu Ilham Pujangga semasa sesi pembelajaran bersama mereka ialah supaya mereka tahu dan sedar bahawa usia bukan menjadi penghalang bagi mereka untuk memberikan sumbangan yang positif pada negara dan keluarga.

Apa yang telah saya lakukan bersama pelajar 2NT adalah seperti berikut:-

  1. Saya memberikan setiap pelajar satu salinan senikata Ilham Pujangga.
  2. Pelajar bergilir-gilir membaca serangkap senikata tersebut.
  3. Setiap kali selepas membaca serangkap senikata tersebut, kami membincangkan perkataan-perkataan yang tidak mereka fahami dan kami membincangkan maksud dan nilai yang ingin disampaikan oleh penulis lagu itu.
  4. Di akhir pembelajaran, saya memberikan mereka beberapa soalan untuk dijawab secara bertulis iaitu:

a) Apakah perkara yang anda pelajari daripada petikan lagu Ilham Pujangga?

b) Apakah sumbangan yang boleh kamu berikan kepada ibu bapa kamu?

c) Apakah sumbangan yang boleh kamu berikan kepada negara kamu?

Apa yang saya lakukan bersama mereka tidaklah sehebat mana, tetapi harapan saya ialah agar mereka mempelajari nilai-nilai baik yang terkandung dalam lagu Ilham Pujangga.

Sekiranya cikgu ada cadangan-cadangan lain untuk memperbaiki rancangan pengajaran ini, saya bersedia untuk menerimanya.

16.2.06

030. Ilham Pujangga: Di Bilik Darjah

Lagu Ilham Dari Pujangga dipilih kerana kata-kata nasihat yang jelas dan mudah difahami oleh pendengar. Cikgu berharap pelajar-pelajar yang menonton persembahan daripada pelajar-pelajar tempoh hari terhibur dan pada waktu yang sama mendapat manfaat daripada kata-kata yang disampaikan oleh Farhan, Aidil, Shazni dan Hafiz.

Selain daripada mempersembahkan lirik lagu ini sebagai puisi, Cikgu juga telah menggunakan lirik lagu ini sebagai bahan pembelajaran bersama pelajar-pelajar Menengah 2 Normal Teknikal di kelas. Cikgu berharap, pelajar-pelajar tersebut mendapat manfaat daripada sesi pembelajaran tersebut.

Cikgu juga akan menyertakan pendapat-pendapat yang diberikan oleh pelajar-pelajar 2T1 (2006) semasa sesi pembelajaran tersebut.

029. Ilham Pujangga: Gambar Persembahan






Gambar-gambar ini diambil oleh Encik Ng Han Liat semasa persembahan Ilham Pujangga sempena perayaan Tahun Baru Cina di sekolah kami.


11.2.06

028. Ilham Pujangga


Berikut merupakan senikata lagu Ilham Pujangga.

Ilham dari pujangga
Berdiam diri bukan ertinya kau salah

Biar cercaan sekali datang menimpa
Sudahlah memang adat di dunia
Bersuaralah kamu pada perkara berguna
Itulah sifat orang bijaksana
( ...ya anak muda tidak kerana tergelincir kakinya
tetapi matinya anak muda itu kerana tergelincir lidahnya
berdiam dirilah kamu kepada perkara yang bukan-bukan
bersuaralah kamu kepada perkara yang memberi kebaikan...)
Berikanlah tenaga
Untuk nusa dan negara
Ini zaman kemajuan
Jangan kita ketinggalan
Kasih sesama manusia
Seperti anda sayang kepada diri anda
Pandang yang satu kepada yang ramai, sayang
Pandang yang ramai kepada yang satu
(...usahlah ditanya apakah bakti negara untuk kamu
tetapi tanyalah apakah bakti kamu untuk negara
berjasalah kamu untuk keharmonian negara...
IH:...kau katakan pada aku sekarang jua apakah pendapat kau atas kewajipan muda-mudi...
...pembela, harapan dan tiang segala bangsa dan negara...
IH:...bagaimanakah cara yang patut aku tunjukkan kewajipan ini...
...kau mempunyai akal bukan, tepuklah dada tanya selera...)
Sungguhkanlah hati mu
Pertahankan ibu pertiwi
Jauhkanlah diri mu
Dari perkara yang merugi
Maaf mudi dan muda
Ku susun jari sepuluh
Aku bukanlah seorang pujangga
Hanya seorang penyanyi biasa

027. Sambutan Tahun Baru Cina & Hari Raya Haji




Baru-baru ini, 4 pelajar lelaki Menengah 4 Ekspres telah membuat persembahan mendeklamasi sajak diiringi dengan tarian yang dipersembahkan oleh ahli kumpulan tarian sekolah. Ianya telah dipersembahkan sehari sebelum Tahun Baru Cina semasa perhimpunan sekolah.

Pelajar-pelajar menengah 4 Ekspres yang telah mendeklamasikan sajak itu adalah Md Farhan, Aidil Adha, Md Shazni dan Md Hafiz.

Sebenarnya, sajak yang dipilih ini merupakan sebuah lagu berjudul "Ilham Pujangga" yang pernah didendangkan oleh Ismail Haron dan Cikgu Zaharah Salleh. Lagu dan liriknya telah dihasilkan oleh A. Rahim Yadi.

Ilham Dari Pujangga dipilih kerana kata-kata nasihat yang jelas dan mudah difahami oleh pendengar. Cikgu berharap pelajar-pelajar yang menonton persembahan tersebut telah terhibur dan pada waktu yang sama mendapat manfaat daripada kata-kata yang disampaikan oleh Farhan, Aidil, Shazni dan Hafiz
.

Gambar-gambar ini diambil oleh Encik Ng Han Liat, guru Sekolah Menengah Hong Kah.

3.2.06

026. Majalah Remaja Jan 2006 (EDN)






Salam sejahtera pelajar budiman,

Sekiranya ingin membaca rencana-rencana menarik Majalah Remaja, pergilah ke perpustakaan sekolah untuk mendapatkannya.

Tanamkan minat suka membaca kerana ianya pasti akan meluaskan minda anda!

11.1.06

025. Obor: Md Hafiz Md Yasin




Baru-baru ini, salah seorang rakan anda telah menyumbangkan karyanya untuk tatapan umum di Berita Harian. Karyanya telah disiarkan sempena tibanya Hari Raya Haji. Cikgu berharap pengalamannya itu menjadi sumber inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk mengikuti jejaknya.

6.1.06

024. Puisi Pilihan Majalah Remaja







Syabas pelajar-pelajar Hong Kah!
Anda boleh membaca puisi-puisi rakan anda seperti Athifah, Safari, Hafizah dan Dinah Ellyana di Majalah Remaja edisi Mei-Jun 2005.

5.1.06

023. Majalah Remaja Edisi Mei-Jun 2005 (EDN)






Bacalah Majalah Remaja Sekiranya anda mahu mengetahui lebih lanjut lagi, majalah ini boleh didapati di Perpustakaan Jurong East.


4.1.06

022. Maklum Balas Pelajar Mengenai Penggunaan Blog Dalam Pembelajaran

Selamat sejahtera pelajar budiman,

Memandangkan sudah genap setahun kita menggunakan blog dalam pembelajaran kita, cikgu rasa wajarlah kita membuat sedikit renungan tentang kekuatan dan kelemahan menggunakan wadah ini.

Oleh itu, cikgu ingin mengambil kesempatan ini untuk mendengar pendapat-pendapat pelajar tentang cara pembelajaran ini. Cikgu berharap pelajar-pelajar boleh memberikan maklum balas yang sejujur-jujurnya supaya cikgu dapat memperbaiki cara pembelajaran bersama pelajar-pelajar cikgu yang lain.

Soalan-soalan berikut boleh dijadikan panduan untuk memberikan pendapat-pendapat anda.


  1. Setujukah anda bahawa pembelajaran menggunakan wadah blog menarik? Mengapa?
  2. Sejauh ini, cikgu telah menggunakan wadah blog untuk membincangkan isu-isu remaja dan sosial. Setujukah anda bahawa anda lebih prihatin dan lebih mengetahui tentang isu-isu yang dibincangkan berbanding dengan dahulu? Mengapa?
  3. Adakah ibu bapa atau ahli keluarga lain sedar tentang perbincangan yang anda lakukan menggunakan wadah blog ini?
  4. Apakah reaksi atau pendapat mereka tentang perbincangan yang anda lakukan bersama guru dan rakan-rakan lain?
  5. Selain menggunakan blog untuk membincangkan isu-isu sosial dan remaja, apakah perkara-perkara lain yang boleh kita lakukan menerusi wadah blog untuk pembelajaran bahasa Melayu?
  6. Lain-lain pendapat.

Terima kasih saya ucapkan kepada anda semua kerana telah menjayakan aktiviti pembelajaran melalui blog ini.

1.1.06

021. Selamat Tahun Baru 2006

Salam sejahtera pelajar budiman,
Tahun ini merupakan tahun akhir bagi pelajar-pelajar menengah 4 Ekspres. Cikgu berharap anda sudah mengetahui ke mana arah anda selanjutnya dalam pengembaraan hidup ini. Cikgu berharap anda semua sudah bersedia untuk menempuhi tahun yang pasti lebih mencabar dari yang sudah-sudah.
Sudahkah anda memikirkan ke institusi pengajian tinggi yang mana ingin kamu pilih selepas menduduki peperiksaan peringkat O? Sudahkan anda memulakan usaha untuk memastikan anda akan berjaya mendapat tempat di Maktab Rendah atau Politeknik? Semoga soalan-soalan ini akan menyentak mereka-mereka yang masih dalam igauan.