21.11.05

020. Sukma Budaya Cabar Minda Pelajar

Artikel ini merupakan hasil tulisan dua pelajar kita iaitu Siti Zinnirah dan Irma Sakinah. Syabas kepada anda berdua!

6.11.05

019. Tugasan Cuti Sekolah

Salam sejahtera pelajar budiman,

Anda dikehendaki melungsuri lelaman berikut untuk mengetahui tugasan cuti sekolah kamu.
Anda juga boleh klik sahaja pada bahagian Jalinan Guru di sebelah kanan lelaman ini untuk ke lelaman Tugasan Cikgu Faizal.

Saya meminta kerjasama anda untuk memberitahu yang lain mengenai perkara ini.

27.10.05

018. Sukma Budaya 2005

Salam sejahtera pelajar yang budiman,
Cikgu ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar menengah tiga Sekolah Menengah Hong Kah yang telah berjaya menganjurkan acara Sukma Budaya pada 27 Oktober lalu.
Cikgu pasti pelajar-pelajar menengah satu dan dua pasti telah terhibur dan meraih manfaat daripada bengkel-bengkel yang telah anda semua anjurkan. Cikgu sendiri amat berpuas hati dengan pencapaian anda semua.
Apa pula maklum balas pelajar yang lain?
Cikgu rasa elok sekiranya anda dapat menuliskan laporan mengenai acara tersebut supaya boleh dikongsi bersama remaja-remaja lain. Mungkin Aidil, Hisham, Abbas, Zinnirah, Rosdahliana, Irma Sakinah, Siti Farhana atau yang lain boleh menulisnya?
Sekiranya ingin melihat gamabr-gambar yang telah saya muat naikkan, sila ke http://cikgufaizal.fotopages.com/

23.10.05

017. Aktiviti Pembelajaran: Blog

Omar Taufiq, Shazni dan Hisham kelihatan ghairah memberikan pendapat masing-masing. Gambar-gambar ini diambil pada 23 September 2005 iaitu beberapa hari selepas kami diwawancara oleh penerbit Detik, Encik Hisham Hashim.

Untuk melihat gambar-gambar yang lain sila ke Fotopage Cikgu Faizal.

20.10.05

016. Etika Penggunaan Blog

Pelajar yang budiman,

Sudahkah anda membaca artikel Berita Harian mengenai isu etika blog? Sekiranya diberikan peluang, apakah yang boleh anda sarankan kepada pihak awam tentang etika penggunaan blog?

Berikut merupakan artikel berita yang cikgu dapatkan daripada Cyberita sebagai bahan renungan.

Berita Harian Singapura : 18 Oktober 2005
SEKOLAH PERLU DIDIK ETIKA GUNA BLOG
Dipetik daripada
http://cyberita.asia1.com.sg/
MOE akan pantau dan lakar garis pandu guna InternetPIHAK sekolah perlu mendidik dan membimbing pelajar mengenai penggunaan blog atau diari maya secara bertanggungjawab, sama seperti mereka menggunakan kemudahan e-mel dan perhubungan media yang lain.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Encik Tharman Shanmugaratnam, berkata Kementerian Pendidikan (MOE) akan terus memantau keadaan dan menilai keperluan mewujudkan satu garis pandu penggunaan Internet, merangkumi etiket blog bagi guru dan pelajar.
Dalam jawapan bertulisnya sebagai menjawab pertanyaan Cik Cynthia Phua (GRC Aljunied), Encik Tharman menggariskan tiga pendekatan MOE berhubung penggunaan Internet yang bertanggungjawab.Ini termasuk latihan bagi guru, penggunaan Internet secara bertanggungjawab dan melalui sumber-sumber kementerian tersebut.
Berhubung latihan, Encik Tharman berkata latihan bagi guru dalam garis pandu etika Internet disepadukan dalam program latihan integrasi teknologi maklumat (IT).Di sekolah pula, topik mengenai penggunaan Internet secara bertanggungjawab dirangkum dalam pakej arahan bagi Pendidikan Sivik dan Moral (CME). CME menggalak para pelajar bersikap bertanggungjawab atas tingkah laku mereka sama ada dalam dunia siber mahupun fizikal.Menerusi edu.MALL, pihak sekolah boleh mendapatkan panduan mengenai penggunaan Internet yang bertanggungjawab di kalangan para pelajar.edu.MALL adalah laman web MOE yang menerangkan penggunaan IT dalam pendidikan.Di samping itu, pihak sekolah memanfaatkan sokongan pertubuhan relawan seperti Touch Community Services, Kumpulan Penasihat Ibu Bapa bagi Internet (PAGi) dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dalam menganjurkan program-program siber bagi para pelajar dan ibu bapa.

'Kami menggalakkan penggunaan blog. Ia membolehkan pelajar meluahkan perasaan mereka secara bebas dalam sekitaran tidak formal dan memanfaatkan pelbagai media - teks, bunyian, gambar dan video - secara kreatif. (Namun) pelajar perlu diingatkan supaya menghormati orang lain, mengelak kandungan menjelikkan atau kesat dan penjiplakan serta bahan terpelihara,' ujar Encik Tharman.

26.9.05

015. Berita Harian: Obor

Hari ini, artikel mengenai blog Luahan Minda Kritis telah disiarkan di Berita Harian dalam ruangan Obor kelolaan Cik Haryani Ismail.

22.9.05

014. Diari Maya Berbau Perkauman

Pelajar yang budiman,
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita tentang bagaimana segolongan minoriti pengguna diari maya yang telah menyalah gunakan wadah ini untuk menulis perkara-perkara yang berbau perkauman.
  1. Apakah reaksi anda terhadap berita tersebut?
  2. Apakah yang anda boleh lakukan untuk meyakinkan rakan-rakan lain bahawa ini hanyalah tindakan golongan minoriti masyarakat Singapura yang sempit pemikirannya?
  3. Bagaimanakah anda boleh mewujudkan persefahaman antara kaum?
Berikut merupakan artikel berita yang cikgu dapatkan daripada Cyberita sebagai bahan renungan.
DIARI MAYA BERBAU PERKAUMAN
PEGUAM TERTUDUH BERUSAHA CUBA KURANGI TUDUHAN
Oleh Khalid Khamis
Dipetik daripada http://cyberita.asia1.com.sg/
PEGUAM bagi Lim Yew Nicholas, 25 tahun, yang dituduh menyiarkan diari maya atau blog yang berbau perkauman, akan cuba mengurangkan tuduhan terhadapnya.
Seorang lagi tertuduh, Benjamin Koh Song Huat, 27 tahun, pula akan membuat perwakilan dalam beberapa hari ini.
Masing-masing menghadapi dua dan tiga tuduhan di bawah Akta Hasutan berkaitan forum anti-Melayu dan anti-Islam.
Mereka, individu pertama yang dituduh di bawah Akta tersebut, hadir di mahkamah dengan diwakili peguam masing-masing semalam selepas dituduh 12 September lalu.
Ketika dihubungi, peguam Lim, Cik Helen Chia, mengesahkan bahawa pihaknya akan cuba mengemukakan rayuan untuk mengurangkan tuduhan atau mungkin meneruskan dengan satu daripada dua tuduhan yang dihadapinya.
'Kami akan menulis kepada Peguam Negara jika boleh meringankan tuduhan terhadapnya dan akan berusaha sedaya upaya walaupun agak berat,' katanya.
Peguam Koh pula, Encik Irving Choh, ketika dihubungi berkata pihaknya hanya akan membuat perwakilan dalam beberapa hari ini.
Beliau akan bertemu kliennya hari ini untuk mendapatkan arahan seterusnya.
Kes mereka akan didengar lagi Selasa ini.
Jumaat lalu, seorang pelajar sekolah swasta, Gan Huai Shi, 17 tahun, turut dituduh bagi kesalahan yang sama di bawah Akta tersebut.
Dia hadir di mahkamah Selasa lalu tetapi kesnya akan didengar lagi 7 Oktober ini.
Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng, menyatakan pemerintah kini sedang menyemak jika Akta Hasutan perlu dipinda untuk menyesuaikan hukuman kepada kesalahan dalam konteks masyarakat sekarang.
Akta Hasutan digubal sekitar 1948 dan dipinda dua kali dalam 1972 dan 1985.

013. Projek Berkumpulan

Salam sejahtera pelajar budiman,

Projek berkumpulan yang baru sahaja kalian bentangkan tempoh hari amat membanggakan saya. Syabas saya ucapkan kepada semua kerana telah menunjukkan sikap positif dan usaha yang gigih semasa menyediakan bahan-bahan pembentangan.

Apa yang menarik tahun ini adalah kamu semua telah menggunakan pelbagai wadah untuk membentangkan hasil dapatan kamu. Ada yang menggunakan slaid-slaid Powerpoint yang disertakan juga dengan klip-klip video yang kamu hasilkan sendiri dan tidak kurang juga ada di antara kamu yang menggunakan lelaman Blog sebagi wadah pembentangan. Daya kreativiti yang kamu tonjolkan amat membanggakan dan melebihi jangkaan saya. Sekali lagi syabas!

Sebagai rumusan, berikut merupakan tema-tema yang telah kumpulan-kumpulan kamu pilih dan berjaya bentangkan:

  1. Cinta Remaja oleh Kumpulan Srikandi Gagah 003 (Siti Zinnirah, Iffa Iryani & Sharifah Maryam)
  2. Cinta Internet oleh Kumpulan Anak_dara.com (Irma Sakinah, Nurfarahin & Nur Amalina)
  3. Jurang Generasi oleh Pejuang Anak Remaja (Nur Amirah, Nur Hanisah & Adilah)
  4. Remaja Kini oleh Gen M2 (Rosdahliana, Nur Aqilah, Nur Jalilah & Nurdayana)
  5. Kerana Mulut Badan Binasa oleh Anak Adam (Hishamuddin, Omar Taufiq, Shazni & Hafiz)

21.9.05

012. Rancangan Suria: Detik






Kami telah diwawancara oleh Encik Hisham Hasim untuk Rancangan Detik di Suria. Gambar-gambar ini telah dipetik daripada rancangan tersebut.

20.1.05

011. Hanyut: Kerana Diabaikan

Pelajar yang budiman,

Nampaknya hebat juga pendapat-pendapat yang telah anda kemukakan. Saya agak berpuas hati dengan perbincangan yang telah diadakan tentang episod itu semasa di bilik darjah dan seterusnya di Blog ini. Saya berharap perbincangan sihat ini akan diteruskan bersama keluarga anda juga bila di rumah nanti.

Episod yang disiarkan pada 10 Jan 2005 juga tidak kurang hebatnya. Secara ringkas ianya mengisahkan tentang seorang remaja perempuan yang mula bekerja dalam usia semuda 13 tahun akibat keperluan keluarga. Dia dan adik beradiknya tinggal bersama nenek di sebelah bapanya setelah penceraian ibu bapa mereka. Bapanya pula berada di dalam tahanan.

Apa yang menyedihkan ialah remaja tersebut mula bekerja sebagai pelayan di kelab malam dan menambahkan pendapatannya dengan menjadi seorang ibu ayam. Dia berkenalan dengan gadis-gadis seusianya untuk diperkenalkan kepada abang-abang angkatnya yang menggunakan diri mereka sebagai alat-alat memuaskan nafsu mereka.

Apa perasaan anda apabila menonton rancangan tersebut? Apa yang berligar di ingatan anda apabila melihat gadis-gadis tersebut diperalatkan oleh lelaki-lelaki yang bergelar abang angkat itu? Apa pula pendapat-pendapat ahli keluarga anda?

19.1.05

010. Kata Pakar: Dibuai Nafsu

Pakar yang akan berkongsi pendapat mengenai isu ini ialah Encik Mohd Ali Mahmood, juga dikenali sebagai Bro Mohd. Beliau merupakan seseorang yang amat berpengalaman dalam bidang kaunseling keluarga. Bro Mohd sering dijemput untuk memberikan ceramah-ceramah di sekolah dan pendapat-pendapat beliau sering disiarkan di Berita Harian. Kini, Bro Mohd merupakan Pengarah Pusat di Pusat Khidmat Keluarga PPIS-Jurong.

Bro. Mohd berpendapat...
Assalaamualaikum wr. wb.

Banyak sekali komen yang tertera tentang isu remaja yang dibuai nafsu. Untuk pengetahuan remaja, Pusat Khidmat Keluarga PPIS-Jurong, di mana Bro Mohd bertugas mengendalikan 3 kes setiap minggu dimana remaja yang ingin dinikahkan kerana sudah terlanjur.

Memang betul komentar Irma Sakinah, Nur Hanisah dan remaja yang lain. Ramai ibu bapa yang mengambil keputusan untuk menikahkan anak remaja mereka yang hamil kerana ingin meutup malu atau rasa kasihan kepada bayi yang dikandung. Malangnya, pernikahan bukanlah akhir masalah mereka tetapi permulaan bagi masalah yang baru.

Walaupun secara rasional kita rasa janji-janji teman lelaki untuk bertanggungjawab itu suatu yang bodoh, ramai juga remaja wanita yang tertipu kerana dibuai nafsu mereka sendiri. Cuba bayangkan, walaupun si lelakinya ingin bertanggungjawab, apakah masa depannya bernikah pada usia muda, dengan suami yang tidak ada kemampuan menanggung nafkah dan menjadi pembimbing keluarga?

Nur Amirah, Siti Zinnirah dan yang lainnya nampaknya marah kepada si ibu yang membenarkan teman lelaki Ana bermalam di rumahnya. Inilah kenyataan kehidupan bahawa, walaupun dewasa, seorang ibu itu juga boleh melakukan kesilapan.

Sebahagian besar kes remaja yang melakukan seks, selalunya berbuat demikian dirumah mereka, apabila ibu bapa keluar bekerja. Oleh kerana tiada pengawasan, berbagai perkara yang boleh berlaku.

Ada juga kalangan remaja yang mengaggap pengetahuan agama itu penting untuk mengelakkan perkara ini dari berlaku. Ini memang benar. Sebahagian kes yang kami tangani kurang berpengetahuan. Malahan ada juga yang tidak tahu mengucapkan syahadah! Tetapi rata-rata semuanya tahu bahawa berzina itu salah dalam Islam.


Pokoknya, ilmu tanpa amal itu merugikan. Jadi, bukan setakat tahu ilmu agama, kita haruslah berusaha untuk mengamalkannya: seperti solat (mengajarkan kita tentang (disiplin yang berterusan), puasa (menahan diri), zakat/sedekah (bertimbang rasa), pergi haji (pengorbanan).

Di sini Bro Mohd hendak memberi sedikit panduan untuk remaja semua supaya dapat melayari kehidupan sebagai remaja ini dengan lebih baik:

  1. Pilihlah kawan yang baik. Pesan Rasullullah "Perumpamaan teman yang solih dan teman yang jahat ialah laksana pembawa minyak wangi dan tukang besi. Adapun pembawa minyak wangi, sama ada dia memberimu sedikit, ataupun anda membeli daripadanya sedikit, ataupun anda dapat mencium bau-bauan yang wangi. Adapun tukang besi, sama ada dia membakar bajumu, ataupun akan mencium daripadanya bau-bauan yang busuk!" Bagaimana hendak memilih kawan yang baik? lihatlah tingkah lakunya, percakapannya, dan pemikirannya. Inilah cermin yang memantul akhlak dalam diri teman itu.
  2. Jagalah diri anda dahulu, sebelum menjaga diri orang lain. Ramai remaja yang beranggapan bahawa tujuan mereka berkawan dengan seseorang itu kerana berharap untuk mengubah sikap atau kelakuan teman yang kurang baik. Walaupun niat ini harus dipuji, kita harus sedar bahawa seseorang itu tidak akan berubah jika dia sendiri tidak sedar dan tidak ingin berubah. Dalam kegairahan kita ingin membantu, kita mungkin terikut-ikut dengan perbuatan mereka yang kurang baik.
  3. Jauhkan diri anda dari perkara-perkara yang membawa kepada maksiat. Cuba fikirkan, berapa ramai antara remaja kita yang suka mengakhiri tutur bicara dengan perkataan 'sial', bukankah ini suatu sumpahan? Ternyata, dengan membuat begini, anda meyumpah teman anda sendiri. Dan oleh kerana itu, ianya juga memantul kepada diri anda! Jadi, janganlah terperanjat jika anda selalu tidak bernasib baik!
  4. Carilah orang yang boleh anda contohi (role model). Orang yang terbaik dicontohi adalah Rasulullah. Tetapi jika para remaja ingin seseorang yang lebih dekat, gunakanlah ibu bapa anda sebagai contoh. Malangnya ada juga ibu bapa yang tidak boleh menjadi contoh kepada anak-anak mereka kerana mereka sendiri tidak menunjukkan sikap yang terpuji. Oleh itu, carilah seorang mentor dari kalangan sedara mara, guru, ustadz dan sebagainya. Pastikan mereka yang dijadikan mentor adalah mereka yang menganjurkan melakukan kebaikan dan amal soleh.

Sampai di sini sahaja komentar dari Bro Mohd. Jika ada pertanyaan lanjut, ajukan emel kepada: mohdali@ppisjurongfsc.com

Wassalaam

Brother Mohd.

3/3/05 10:35

12.1.05

009. Hanyut: Dibuai Nafsu

Pelajar yang budiman,

Kita baru sahaja menonton siaran terbaru Suria pada hari Isnin, 3 Jan 2005 jam 8.30mlm tentang realiti hidup sesetengah remaja Singapura yang mungkin agak membimbangkan.

Dalam episod pertama yang disiarkan Isnin lalu, kita dikejutkan dengan kisah dua remaja perempuan yang melakukan hubungan seks pada usia seawal 13 dan 16 tahun. Malahan, salah seorang remaja itu tidak tahu ayah kepada anak yang dikandungnya kerana telah dirogol oleh lebih daripada seorang kenalannya. Yang seorang lagi pula dirogol oleh teman lelakinya di rumah. Lebih menyedihkan apabila kejadian tersebut berlaku semasa ibunya berada di rumah.

Apakah yang bermain di dalam fikiran anda semasa menonton siaran tersebut? Apa pula yang diperbualkan oleh ahli keluarga anda yang menontonnya. Kongsilah pendapat anda dalam ruangan yang disediakan.

11.1.05

008. Kata Pakar: Isu Remaja Lari

Pakar yang akan berkongsi pendapat mengenai isu ini ialah Encik Mohd Ali Mahmood, juga dikenali sebagai Bro Mohd. Beliau merupakan seseorang yang amat berpengalaman dalam bidang kaunseling keluarga. Bro Mohd sering dijemput untuk memberikan ceramah-ceramah di sekolah dan pendapat-pendapat beliau sering disiarkan di Berita Harian. Beliau juga baru sahaja diwawancara untuk salah sebuah episod Hanyut pada Isnin, 7 Feb 2005. Kini, Bro Mohd merupakan Pengarah Pusat di Pusat Khidmat Keluarga PPIS-Jurong.

Bro. Mohd berpendapat...


Assalaamua'laikum wr.wb.

Wah! Menarik sungguh komen-komen yang ditulis para pembaca! Sehinggakan saya sendiri merasa ghairah untuk memberi pendapat.

Alhamdulillah! Rata-rata komentar para pembaca menunjukkan kematangan dalam fikiran mereka. Semuanya tidak setuju dengan tindakan Arinah yang lari dari rumah kerana inginkan kebebasan keluar malam pada usia 13 tahun. Sebenarnya, banyak perkara yang telah dibentangkan dari isu ini:

  1. Tidak berfikir panjang. Ramai anak remaja lebih bersikap mengikut resa (impulsive) sehingga menjejas tingkah-laku mereka. Selalunya, mereka juga akan cepat terasa sedar tentang kesilapan ini tetapi merasa malu atau takut untuk berhadapan dengan kesan perbuatan mereka. Oleh itu, mereka terpaku untuk memperbaiki keadaan. Saya rasa Arinah mungkin rasa kesal apabila beliau telah melarikan diri tetapi oleh kerana beliau rasa takut dan malu untuk berhadapan dengan ibu bapanya, beliau membuat keputusan untuk menjauhkan diri. Masalah ini semakin bertambah apabila ada pula rakan yang bersubahat dengan memberinya tempat tinggal dan bukan nasihat untuk pulang kerumah untuk menjernihkan keadaan.
  2. Mementingkan diri sendiri. Ramai antara pembaca marah kerana menganggap Arinah bersikap mementingkan diri sendiri. Sebenarnya, naluri seorang anak remaja itu selalunya inginkan kesenangan diri dahulu sebelum memikirkan tentang hal orang lain. Ini adalah aspek normal pembangunan remaja. Tetapi sikap ini perlu diatasi untuk menjadi seorang dewasa yang matang. Saya tidak terperanjat apabila Arinah mengambil keputusan lari dari rumah kerana tidak terfikir tentang masalah yang beliau timbulkan kepada keluarganya. Malangnya, mungkin beliau tidak dinasihati oleh rakan atau ibubapa rakannya tentang ini. Oleh itu, beliau tidak dapat belajar untuk bermuhasabah (menilai perbuatan sendiri). Nampaknya, ibu bapanya perlu membantu menanamkan sifat ini kedalam diri beliau.
  3. Kemahiran menyelesaikan masalah. Pembaca bersetuju bahawa melarikan diri dari rumah bukan jalan penyelesaian masalah. Ada yang menganjurkan supaya Arinah berbincang dengan ibu bapanya. Saya gembira melihat para pembaca rasa mudah untuk berbincang dengan keluarga. Selalunya, anak remaja lebih suka berbincang dengan rakan sahaja dan kurang berkongsi masalah dengan ibubapa. Malangnya, rakan remaja kita mungkin kurang pengalaman dan tidak dapat memberikan penyelesaian yang baik. Ada juga ibu bapa yang tidak suka mendengar luahan hati anak-anak. Ibu bapa ini lebih cepat menuduh, menegah dan memarahi sebelum mendengar luahan sianak secukupnya. Jadi, ibu bapa Arinah juga perlu menilai semula adakah cara mereka mendampingi Arinah itu bersesuaian kepada usianya yang meningkat remaja; yang bukan lagi seperti anak-anak. Cara mereka menyelesaikan masalah akan ditiru oleh anak-anak.
  4. Disiplin diri lawan Kawalan Luaran. Isu remaja lari dari rumah seperti Arinah ini menunjukkan tahap disiplin diri seseorang itu. Seorang remaja yang boleh menahan diri dari mengikut resa akan lebih berjaya kerana dia akan juga mempunyai sifat kesabaran, ketabahan dalam mengharungi masalah dan tidak berputus-asa. Remaja yang memerlukan kawalan luaran seperti undang-undang atau ugutan untuk mengawal kelakuan mereka akan mudah terikut-ikut kepada pengaruh kawan-kawan. Itulah hikmahnya kita digalakkan bersolat dan beramal kerana ianya mengajar kita menahan diri dari melakukan sesuatu mengikut resa sahaja. Bukankah bersolat itu memerlukan disiplin dan kesabaran untuk didirikan??

Semoga para pembaca semua dapat iktibar dari pendapat saya ini. Jika ada soalan lanjutan, saya boleh dihubungi melalui emel:

mohdali@ppisjurongfsc.com

Wassalaam

Brother Mohd.
8/2/05 10:14

1.1.05

007. Mukaddimah 2005

Selamat sejahtera para pelajar yang budiman. Semoga anda semua dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk menempuhi suatu lagi tahun yang mencabar dan menarik.
Saya berharap cuti sekolah yang anda lalui baru-baru ini telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan tidak disia-siakan kerana masa yang berlalu itu tidak akan dapat kembali lagi.
Saya pasti mungkin ada di antara anda yang tidak mendapat keputusan peperiksaan yang diingini. Semoga pencapaian yang kurang memuaskan itu tidak mematahkan semangat anda untuk berjaya bahkan ianya menjadi perangsang untuk mencuba lagi dan belajar daripada kesilapan masa lampau. Ambillah iktibar daripada pengalaman kawan-kawan yang telah gagal. Saya pasti bahawa sekiranya anda benar-benar berkemahuan untuk berjaya, ramai yang akan membantu.
Saya berharap bagi tahun yang baru ini, anda semua sudah menyimpan tekad untuk menjadi insan yang lebih baik lagi. Kebaikan yang saya maksudkan bukan sekadar kebaikan dari segi pencapaian akademik sahaja tetapi dari segi akhlak juga.
Sekiranya anda pernah menghampakan diri anda atau keluarga pada masa-masa dahulu, ambillah peluang tahun ini untuk membuktikan bahawa anda mahu dan akan berubah menjadi seseorang yang menggembirakan diri dan keluarga anda.
Usah jadikan persepsi negatif orang lain terhadap diri anda menjadi suatu realiti. Kemampuan untuk berubah terletak dalam genggaman tangan anda sendiri.