1.1.05

007. Mukaddimah 2005

Selamat sejahtera para pelajar yang budiman. Semoga anda semua dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk menempuhi suatu lagi tahun yang mencabar dan menarik.
Saya berharap cuti sekolah yang anda lalui baru-baru ini telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan tidak disia-siakan kerana masa yang berlalu itu tidak akan dapat kembali lagi.
Saya pasti mungkin ada di antara anda yang tidak mendapat keputusan peperiksaan yang diingini. Semoga pencapaian yang kurang memuaskan itu tidak mematahkan semangat anda untuk berjaya bahkan ianya menjadi perangsang untuk mencuba lagi dan belajar daripada kesilapan masa lampau. Ambillah iktibar daripada pengalaman kawan-kawan yang telah gagal. Saya pasti bahawa sekiranya anda benar-benar berkemahuan untuk berjaya, ramai yang akan membantu.
Saya berharap bagi tahun yang baru ini, anda semua sudah menyimpan tekad untuk menjadi insan yang lebih baik lagi. Kebaikan yang saya maksudkan bukan sekadar kebaikan dari segi pencapaian akademik sahaja tetapi dari segi akhlak juga.
Sekiranya anda pernah menghampakan diri anda atau keluarga pada masa-masa dahulu, ambillah peluang tahun ini untuk membuktikan bahawa anda mahu dan akan berubah menjadi seseorang yang menggembirakan diri dan keluarga anda.
Usah jadikan persepsi negatif orang lain terhadap diri anda menjadi suatu realiti. Kemampuan untuk berubah terletak dalam genggaman tangan anda sendiri.